Al-fatihah….

DATO’ ISHAK BAHAROM

Almarhum Dato’ Ishak Baharom dilahirkan pada 1 Januari 1928 di Kampung Batu 22, Kanchong Darat, Banting, Selangor. Ayahnya Haji Baharom bin Jabar, berasal dari Banjarmasin, Sumatra. Manakala ibunya Hajah Fatimah bt Haji Junid berasal dari Melaka. Beliau mempunyai 5 orang adik-beradik. Allahyarham meninggalkan balu, Datin Khalijah Abdullah serta tiga orang anak. Allahyarham mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kanchong Darat dari 1935 – 1941. Semasa pemerintahan Jepun, beliau tidak dapat meneruskan persekolahan selama 2 tahun. Pada tahun 1945, beliau menyambung pelajaran di di Sekolah Menengah Arab Madrasah Bukit Mertajam, Seberang Perai, Pulau Pinang. Seterusnya melanjutkan pelajaran di Darul Ulum, India. Jawatan terakhir Allahyarham sebelum dilantik menjadi Mufti Negeri Selangor pada 1985 ialah sebagai Mudir Sekolah Menengah Agama Batu 38, Sabak Bernam. Bagaimanapun pada 1997, ekoran fatwa yang dikeluarkannya yang menegaskan pertandingan ratu cantik adalah haram, beliau telah dipecat daripada jawatan mufti walaupun perkhidmatannya baru sahaja di sambung. Selepas pemecatan tersebut, Almarhum meneruskan perjuangannya dengan turun ke padang sebagai penceramah dan pendakwah bebas.

LOLOQ..

PETALING JAYA: Penulis lirik dan pelakon, Rosli Khamis atau Loloq meninggal dunia di Hospital Pakar Damansara di sini, selepas koma sejak dimasukkan ke hospital itu, Ahad lalu.

Loloq menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.37 petang di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu. Loloq, 50, dimasukkan ke hospital itu, Ahad lalu, akibat pendarahan otak selepas pengsan secara tiba-tiba di kediamannya. Sejak itu, Allahyarham tidak sedarkan diri dan bergantung kepada alat bantuan pernafasan. Malah, pembedahan bagi membuang darah beku di kepalanya, Isnin lalu, tidak banyak membantu.

Ketika menghembuskan nafas terakhir, isteri Allahyarham, Hariyah Yaacob, 36, berada di sisinya. Allahyarham meninggalkan tiga anak iaitu Krsty Nur, 10; Jaevn Nur, 7 dan Yasha Nur, 5.

Hariyah yang enggan mengulas lanjut mengenai punca kematian suaminya berkata, Loloq meninggal dunia kerana pendarahan di otaknya.