Lelaki Malaysia Lebih Penyayang

KUALA LUMPUR 7 Jan. – Lelaki Malaysia
dikatakan lebih bersifat penyayang dan
dsc07883.jpgsikap itu menjadi sebab terpenting
mengapa wanita Indonesia gemar memilih
mereka sebagai suami.

Bagi lelaki tempatan yang berkahwin
dengan wanita seberang pula, mereka
meletakkan kelembutan tingkah laku
wanita dari republik itu sebagai daya
tarikan utama.

Bagaimanapun, tinjauan Utusan Malaysia
mendapati pasangan suami isteri yang
terdiri daripada lelaki Malaysia dan
wanita Indonesia menolak persepsi umum
kononnya perkahwinan mereka adalah untuk
memudahkan wanita Indonesia mendapatkan
kerakyatan negara ini.

Seorang wanita Indonesia yang bekerja di
sebuah restoran di sini, Misna Seling,
33, berkata, andai kata dia diberikan
peluang sekali lagi dia tetap akan
memilih untuk mengahwini lelaki Malaysia.

“Pada saya, lelaki Malaysia lebih
penyayang dan lebih memahami diri
wanita,” katanya kepada pemberita di
sini hari ini. Misna sudah 18 tahun
menetap di Kuala Lumpur dan telah
mendirikan rumah tangga dengan seorang
lelaki rakyat negara ini.

Menurut Misna, dia tidak menjadikan rupa
paras atau harta kekayaan sebagai
tarikan untuk berkahwin.

“Saya melihat pada hati budi lelaki
Malaysia,” katanya.

Dia juga menolak tanggapan bahawa wanita
Indonesia memilih lelaki tempatan kerana
ingin mendapatkan taraf penduduk tetap
di negara ini.

Misna mengulas kenyataan Setiausaha
Parlimen di Jabatan Perdana Menteri,
Datuk Dr. Mashitah Ibrahim di Jakarta
semalam yang meminta kajian dijalankan
bagi mencari punca kenapa ramai lelaki
Malaysia memilih calon isteri dari
Indonesia.

Berdasarkan rekod Kedutaan Besar
Malaysia di Jakarta, antara lima hingga
10 pasangan dari kedua-dua negara
mendaftar setiap hari untuk bernikah.

Seorang pekerja gerai pakaian di Jalan
Masjid India di sini, Ria Kantigi, 38,
berkata, dia terdorong memilih lelaki
Malaysia sebagai teman hidup kerana
suaminya amat memahami dirinya.

“Mungkin jodoh saya ditakdirkan di
Malaysia tetapi apa yang penting lelaki
Malaysia lebih memahami dan menyayangi
saya sepenuh hati,” tambahnya.

Ketika ditanya adakah wujud halangan
keluarga kedua-dua belah pihak, Ria
menjelaskan bahawa perkahwinannya dengan
lelaki Malaysia mendapat restu keluarga.

Bagi Riyanti, 30, yang berasal dari
Lombok di kepulauan Mataram, dia tidak
kisah jika jodohnya di Malaysia
ditakdirkan bersama suami orang.

“Memang orang kata perempuan Indonesia
suka rampas suami orang, tetapi saya
berasa kita bukan bertepuk sebelah tangan.

“Ada kalanya lelaki tempatan yang hendak
sangat kepada wanita Indonesia,” katanya.

Kurang senang

Riyanti agak kurang senang dengan
tanggapan kononnya wanita sepertinya
mengahwini lelaki tempatan atas alasan
harta dan kerakyatan.

Sementara itu, lelaki tempatan yang
memilih pasangan hidup daripada kalangan
wanita Indonesia pula membuat keputusan
untuk berkahwin berdasarkan aspek jodoh
dan layanan.

Bagi pemandu lori, Akbar Abdullah, 29,
yang mengahwini seorang wanita rakyat
Indonesia, berkata, wanita Indonesia
lebih lembut, manja dan pandai melayan.

“Bukan hendak kata wanita tempatan tidak
begitu, tetapi itu adalah salah satu
sebab selain sudah ditakdirkan itulah
jodoh kami,” katanya.

Akbar yang sudah lima tahun mendirikan
rumah tangga dengan gadis seberang
mengakui dia kini berasa amat bahagia.