Salah Laku : Artis Wajar Dihukum

DI BARAT, perlakuan melampau artisnya sudah menjadi sebahagian budaya mereka. Tidak sahaja di pentas terbuka, kehidupan peribadi mereka juga semakin kalut atas nama ketamadunan dan keterbukaan minda.

Ketika ini, Britney Spears menjadi artis Barat paling popular yang mempunyai sikap tidak keruan yang bukan sahaja mengundang kontroversi malah dikecam hebat oleh peminat dan media.

 

Kisah provokasinya memang menaikkan semula nama Spears yang semakin malap hari ke hari namun ia nyata tidak memberi impak memberangsangkan kepada kerjayanya.

 

Di Malaysia pula, cetusan kontroversi dan salah laku sering kali memberikan laluan mudah kepada artisnya untuk menempa nama. Ia umpama satu publisiti percuma kepada mereka.

 

Mencetuskan sesuatu yang negatif dan kemudiannya secara terbuka meminta maaf juga menjadi sebahagian budaya kepada industri hiburan di negara ini.

 

Mudah sekali memaafkan dan kemudiannya melakukan lagi kontroversi, tidakkah artis itu sendiri mempunyai rasa bersalah kepada khalayak yang telah memberi kemaafan serta ruang untuknya menilai semula perlakuan diri?

 

Mungkinkah juga ketiadaan garis panduan untuk menghukum mereka menyebabkan para artis mengambil mudah soal menjaga sifat dan sikap sendiri?

 

Tetapi siapa yang perlu dipertanggungjawab untuk menguatkuasakan garis panduan itu? Kita tiada badan atau satu jawatankuasa khusus untuk melaksanakan.

 

Apa yang berlaku, semua hukuman yang dikenakan adalah secara ad-hoc dan sendiri-sendiri sahaja. Misalnya, RTM, TV3, Astro dan sebagainya akan mengambil tindakannya sendiri mengikut keperluan.

 

Jika ada badan yang diiktiraf maka semua perkara tidak sahaja dirujuk malah akan berpandukan kepada badan atau jawatankuasa terbabit.

 

Keputusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang tidak membenarkan Faizal mengadakan persembahan secara langsung di stesen-stesen TV bermula tarikh 15 Januari lalu dilihat satu keputusan yang tepat.

 

Bukan mahu menjatuhkan hukuman sewenang-wenang namun sekurang-kurangnya dengan hukuman begitu membolehkan mereka, para artis kita, untuk berfikir dua kali sebelum melakukan sesuatu tindakan.

 

Memang hukuman gam menjadi antara hukuman paling ditakuti oleh masyarakat seni di negara ini kerana ia sekali gus menjejaskan periuk nasi.

 

Berlembut

 

Tetapi jika berlembut, artis pula mengambil mudah soal menjaga keperibadian diri. Bukan mahu menghukum anak seni yang sememangnya kreatif dalam segala segi.

 

Memang mereka juga insan biasa yang melakukan kesilapan tetapi sebagai seorang yang menjadi tumpuan khalayak, mahu atau tidak, mereka perlu dan mesti menjaga peradaban apalagi jika di tempat terbuka.

 

Faizal Tahir mencipta polemiknya yang tersendiri apabila dengan berani membuka baju dan tali pinggangnya atas nama sebuah persembahan hiburan. Tujuannya semata-mata untuk berseronok.

 

Bukan Faizal Tahir sahaja yang pernah melakukan perkara sedemikian, buka baju dan tayang dada. Ada artis lain juga pernah melakukannya. Tapi kes artis yang seorang ini agak istimewa diperkatakan kerana selain bertindak di luar dugaan, persembahan itu turut disiarkan secara langsung di kaca TV dan ia juga membabitkan namanya sebagai seorang bekas penyanyi nasyid.

 

Dan atas kesalahan itu, dia menerima hukuman melakukan kerja-kerja amal selama enam bulan yang dikenakan oleh 8TV.

 

Stesen 8TV turut menerima padah apabila SKMM turut menarik serta-merta kelulusan rancangan-rancangan siaran langsung dan tertunda berbentuk hiburan stesen itu selama tiga bulan mulai 15 Januari lalu.

 

Malah penyanyi itu sendiri terpaksa menerima hakikat pahit bahawa dia tidak boleh muncul pada pertandingan berprestij Anugerah Juara Lagu ke-22 (AJL22) minggu depan kerana turut ‘dihukum’ oleh SKMM. Tidakkah itu sesuatu yang amat merugikan?

 

Bukan itu sahaja Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (Papita) juga berhasrat menggugurkan nama Faizal daripada menjadi antara artis yang mengadakan persembahan pada Majlis Anugerah Tinda Gafim yang dianjurkan oleh persatuan tersebut pada 15 Mac depan.

 

Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (Rancangan) RTM, Datuk Adilah Shek Omar memberitahu pihaknya mempunyai pendirian yang tegas terhadap isu berkaitan moral dan salah laku kalangan karyawan tempatan.

 

Namun begitu, kata Adilah, pihaknya melihat sejauh mana seriusnya sesuatu kesalahan yang dilakukan sebelum ’menjatuhkan’ hukuman kepada para artis.

 

“Kita hanya mahu memberi pengajaran agar mereka dan artis lain tidak membuat kesilapan dan kesalahan yang sama,” tegasnya.

 

Antara mereka yang pernah dihukum RTM termasuklah M. Nasir gara-gara mulut lepasnya serta Ning Baizura ekoran fantasi seks yang satu ketika dahulu pernah menggemparkan industri.

 

Tidak ketinggalan Saleem dan Jamal Abdillah kerana kes dadah serta yang terbaru, kes Rosnah Mat Aris yang dikatakan menghina Nabi Muhammad s.a.w.

 

“Hukuman walaupun digam selalunya dalam tempoh masa tertentu. Selalunya hukumannya berperikemanusiaan dan tidak kejam. Ia berpadanan dengan kesalahan yang dilakukan semata-mata sebagai pengajaran,” kata Adilah.

 

Kalau diikutkan isu buka baju yang dilakukan Faizal kalau dilihat dalam ruang lingkup keruntuhan moral artis sebenarnya hanyalah sebahagian isu salah laku.

 

Banyak lagi kes yang mengundang isu moral kalangan artis tempatan. Kes khalwat, dadah, cakap lepas juga melibatkan salah laku.

 

Musibah Faizal buka baju, tidak dinafikan kes-kes lain yang jauh lebih berat patut menerima hukuman yang setimpal kesalahan.

 

Melakukan kerja amal sebagai hukuman satu tindakan yang baik. Malangnya stesen itu sendiri berhasrat untuk mengkomersialkannya. Jadi di mana pengajaran yang ingin ditunjukkan?

 

Sepatutnya tidak perlulah kita pula nak bermegah-megah menunjukkan artis melakukan ‘hukumannya’ walau atas dasar apa sekalipun. Kerana dia perlu melakukannya kerana kesalahan yang dilakukan.

 

Namun isu buka baju juga memberikan impak dan kesedaran untuk kita melihat keruntuhan isu moral kalangan artis dalam skop yang lebih luas.

 

Usul Debat Integriti 2008 : Selamat Berjuang Kepada Semua Pendebat IPT

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Berikut saya paparkan usul-usul yang bakal diperdebatkan dalam Pertandingan Debat Integriti 2008 yang bertempat di USM pada 1-5 Februari 2008. Terima kasih diucapkan kepada saudara Ali Ashraf diatas kesudian beliau untuk berkongsi maklumat ini. Kepada pendebat UMP, mohon untuk mengambil tindakan yang sewajarnya. Selamat berjuang buat semua.

Usul Debat Perdana Integriti

  1. Tanggungjawab Sosial Sektor Korporat Nombor 1, Keuntungan Nombor 2
  2. Negara Maju Melahirkan Remaja Lebih Berintegriti
  3. TEKAD 2008 : Kita Telah Mencapai Matlamat
  4. Artis Kita Kurang Berintegriti
  5. Kemelut Bola Sepak Malaysia : Krisis Integriti
  6. Selepas 50 Tahun Merdeka : Kita Semakin Berintegriti
  7. Doktrin Pengasingan Kuasa Di Malaysia Berkesan
  8. Sistem Khidmat Awam Di Malaysia Membanggakan
  9. Kursus Tadbir Urus Korporat Wajar Diwajibkan
  10. Demi Kualiti Hidup, Sistem Pendidikan Perlu Dirombak
  11. Peningkatan Ekonomi Berkadar Terus Dengan Integriti
  12. Sistem Pendidikan Berjaya Menyemai Perpaduan Kaum
  13. Penjawat Awam Sudah Berintegriti
  14. Integriti dan Ketelusan : Malaysia Model Terbaik
  15. Penyelesaian Masalah Rasuah Terletak Di Tangan Masyarakat
  16. Pematuhan Etika Perniagaan Akan Lebih Menguntungkan Syarikat
  17. Etika Perniagaan Selari Dengan Kehendak Globalisasi
  18. Amalan Tadbir Urus Korporat Mampu Menarik Pelabur Asing Ke Malaysia
  19. Perkhidmatan Kita Setanding Dengan Perkhidmatan Awam Negara Maju
  20. Jenayah Culik Kanak-kanak : Bukan Salah Ibu Bapa
  21. Isu Politik : Media Berintegriti
  22. Media Mendorong Ahli Politik Lebih Berintegriti
  23. Kita Sepakat Dalam Menangani Isu Integriti
  24. Rasuah Di Malaysia : Kita Sudah Berjaya
  25. Kemerosotan Disiplin Pelajar Tanggungjawab Guru
  26. Mahasiswa Kita Sudah Berintegriti
  27. Penerapan Modal Insan Telah Berjaya
  28. Isu Penyorokan Bekalan : Ada Bau-bau Bacang Dengan Rasuah
  29. Pembinaan Koridor Ekonomi Memacu Negara Lebih Berintegriti
  30. Sebenarnya Integriti Lebih Kepada Agenda Politik

Coretan Pena Biru

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.